Mengapa bab toharoh(bersuci) dibahaskan dahulu?

Kita mengenal Qadhi Abdul jabbar di dalam artikel http://tanyadrmaza.blogspot.com/2013/01/asas-penting-memahami-mazhab.html yang lalu.

Oleh itu, kita akan bahaskan apa yang qadhi abdul jabbar bahaskan.

Perbahasan pertama

Perbahasan pertama berkaitan bab toharah(bersuci). Mengapa dalam kebanyakan kitab feqah, ditulis tentang bab bersuci dahulu?

Komentar DRMAZA

Kerana, bersuci adalah pintu gerbang untuk masuk kepada ibadah. Di sini, kita melihat dari sisi perbezaan antara rukun dan syarat.

Rukun, ia duduk berada di dalam sesuatu ibadah. Contohnya mengangkat takbir, rukuk dan sujud. Semua perbuatan ini berada di dalam ibadah sembahyang. Maka, ia disebut rukun sembahyang.

Sedangkan syarat, ia adalah perbuatan yang perlu dilakukan sebelum memasuki sesuatu ibadah.  Sebagai contoh, syarat sah sembahyang mesti ada air sembahyang. Jelasnya, air sembahyang itu bukan sembahyang. Sedangkan ia adalah syarat untuk masuk ke dalam sembahyang iaitu sebelum sembahyang.

Berbalik kepada persoalan kita. Mengapa bab toharoh(bersuci) dibahaskan dahulu?

Adakah ia termasuk di dalam rukun atau syarat?

Ya. Bersuci termasuk di dalam syarat sah sembahyang. Sebab bersuci adalah syarat diterimanya sembahyang , haji dan ia juga syarat kepada banyak ibadah wajib dan sunat kita.

Justeru, bab bersuci ini harus dibahas dengan jelas dahulu sebelum kita membahas bab lain.


Apa itu bersuci?

Di dalam mazhab syafie, ditakrifkan kebersihan atau bersuci sebagai:

فِعْلُ مَا تُسْتُباحُ بِهِ الصَّلاة
"fe'lu ma tustabaahu bihis-sholaah" 
Perbuatan(bersuci) yang membolehkan kita sembahyang.


Komentar DRMAZA

Sangat mudah kan? Tidak perlu panjang-panjang menjelaskan, mudah sahaja. Setelah bersuci, baru boleh sembahyang. Bersuci bukan sahaja wudhu ,mandi wajib, atau menghilangkan najis dari pakaian dan tempat ibadah, itu juga termasuk bersuci.

Islam, sangat mengambil berat soal bersuci. Mengapa?

Kerana, inilah beza antara islam dan agama lain. Agama kristian misalnya, sebahagian paderi mereka berkeyakinan bahawa semakin kotor seseorang maka semakin dekat orang itu dengan tuhan.

Bertentangan sekali dengan agama islam. Agama ini, mengajar kita bersuci. Sepertimana Imam Malik ketika beliau mahu mengajar di masjid Nabi Muhammad di Madinah, dikatakan pakaian beliau ketika itu putih segak, bersih. Hal ini menjadi bukti kepada kita bahawa islam sangat mengajar umatnya menjaga kebersihan.

Oleh hal yang demikian, kita dapat melihat inilah beza antara agama yang tuhan turunkan iaitu islam, berbanding agama yang manusia cipta mengikut akal mereka sendiri.

Asas penting memahami mazhab.

Memahami mazhab.

Asas memahami mazhab, penting untuk kita ketahui. Terutamanya memahami mazhab majoriti di Malaysia iaitu Mazhab asy-syafie.

Para ilmuan islam menyuruh kita menghormati para imam terutamanya imam-imam besar seperti Imam-imam yang empat. Namun, kita dilarang sama sekali daripada menjadi pemfanatik mazhab. Sehingga sampai ke suatu tahap, sikap fanatik mazhab ini boleh  menimbulkan permusuhan dengan mazhab lain semata-mata kerana berbeza peganganan dengan mazhab kita.

Perlu difahami, apa mazhab sekalipun, wajib dihormati  pandangan-pandangan mereka selagi mana mazhab itu berada dalam kalangan Ahli sunnah wal jamaah. Sselagi pandangan mereka dibina di atas bukti dari al-quran dan hadis yang soheh, mereka termasuk mazhab kaum muslimin yang wajib dihormati pandangan mereka.

Imam asy-syafie merupakan bintang besar di dalam ilmu fiqah islam. Sebelum adanya Imam Syafie, telah ada Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan bersama pada zamannya ada Imam Ahmad Bin Hambal. Secara umumnya, kemunculan mazhab ini  sepertimana munculnya guru-guru besar yang menghuraikan masalah fiqah kepada orang awam. Cuma Imam Syafie, seperti juga Imam yang lain,  ada beberapa kelebihan dan anugerah yang Allah kurniakan  kepada mereka.

Kurniaan dan anugerah kepada Asy-syafie.

Antara kurniaan asal kepada Imam Syafie, beliau lahir dari keturunan nabi Muhammad (selawat dan salam keatas baginda). Inilah kurniaan keturunan kepada beliau. Tiada sesiapa yang membuat pilihan ini, melainkan itulah pilihan Allah kepadanya.

Kemudian, Imam Asy-Syafie bertemu dengan guru-guru besar dalam kalangan mazhab Abu Hanifah, seperti Muhammad Hasan Asy-Syaibani di Baghdad. Dan dia berguru sendiri dengan Imam Malik dan dia pula menjadi guru kepada Imam Ahmad bin Hambal.

Hasil dari perjalanan ilmu Imam Syafie ini, menjadikan seolah-olah dataran mazhab itu berada dihadapannya. Atas sebab inilah,Imam Syafie juga terkenal sebagai penghimpun antara aliran mazhab Abu Hanifah dengan Mazhab hadis iaitu mazhab Ahmad bin Hambal.

Selain itu, Imam Syafie dikenali juga dengan gelaran Al -imaam Naasirus sunnah iaitu Imam pembela sunnah.  Imam Syafie, merupakan orang yang pertama menulis kitab Al-ushuul fil fiqh (asal kepada ilmu feqah). Kitab yang diberi nama Ar-Risaalah.

Kitab ini ditulis setelah beliau menulis kitab terbesar beliau di dalam Feqah yang baru iaitu  kitab Al-umm. Kitab asal Al-Umm ditulis lebih kurang 1200 tahun yang lalu. Al-Umm merupakan simbolik feqah terbesar Imam Syafie yang pernah beliau tulis . Kitab ini, menjadi rujukan terakhir kepada keputusan-keputusan feqah beliau, di Mesir.

Mengapa dipanggil 'pembela sunnah'?

Kerana, beliau bangkit membela sunnah nabi yang ketika itu di zamannya telah ada desas-desus golongan yang hanya mahu berpegang dengan Al-quran tanpa mahu berpegang dengan sunnah. Maka, tulisan Ar-risalah, menyimpan banyak huraian-huraian hebat Imam Syafie. Menghuraikan mengenai bagaimana kewajiban muslim untuk berpegang al-quran, sekaligus dengan sunnah nabi.

Allah sudah memberi kaedah kepada kita bahawa, yang suci dari dosa hanyalah nabi muhammad dan para nabi-nabi sebelumnya. Imam-imam, semuanya kita hormati. Namun, sebagai orang yang membaca Feqah as-syafie, kita tidak boleh berkata "yang benar di dalam feqah ini, Syafie sahaja. Yang lain selain Syafie mengarut belaka. tak boleh."

Kita mengakui bahawaa Imam syafie merupakan seorang mujtahid dan ilmuan islam yang terlalu hebat. Tetapi, dari suatu sisi lain kita juga perlu melihat bahawa kebenaran ini tetap berada kepada sesiapa yang ALLAH kehendaki.

Kata Syafie: " Apabila aku berdebat dengan seseorang, aku harap kebenaran terbit dari lidahnya. "

Komentar DRmAZA

Sewajarnya, kita contohi ImamSyafie. Beliau berkata kalau aku berdebat dengan orang, aku mahukan kebenaran. Biarlah orang itu bercakap benar, mudah-mudahan aku dapat manfaat. Inilah hebatnya Imam  Syafie. Sebab peribadi mulia inilah, para Imam ini diangkat oleh Allah menjadi jaguh. Kalau kita, selain mazhab syafie saja seolah semuanya salah. Maka  disini juga kita seharusnya, menurut contoh dari Imam Asy-syafie.

Qadhi Abdul Jabbar

Kita lihat, kesan daripada kehebatan seorang imam. Bagaimana orang yang mengikut Imam dengan cara yang betul. Antaranya, Qadhi Abdul Jabbar. Beliau merupakan seorang yang banyak menulis di dalam ilmu Ushul feqah dan berpegang teguh dengan mazhab syafie, dan beliau sangat kuat berpegang denga mazhab ini.

Tetapi, apabila sampai dalam beberapa bab, pandangannya berbeza dengan pandangan Imam As-syafie. Katanya:
 " و الشافعي كبير. والحقُّ أكْبر منه"
-Syafie itu agung dan hebat. Tetapi, kebenaran lebih agung daripadanya-.

Maksudnya, ada beberapa pandangan beliau sedikit berbeza dengan pandangan Imam Asy-syafie sedangkan dia pengikut tegar Imam Syafie. Tatkala perbezaan itu berlaku, dia tidak menafikan kehebatan Imam Syafie. Bahkan dia mengakui kehebatan, tetap dia menyedari bahawa kebenaran tetap lebih agung dari Asy-syafie.

Demikianlah didikan Asy-syafie kepada anak didiknya dan pengikutnya agar terus berpegang dengan kitab Allah dan rasul-Nya. Terus berpegang dengan kebenaran dan bukan fanatik buta terhadap dirinya.

Galakan menunaikan solat sunat di rumah.


Jabir bercerita bahawa Rasulullah pernah berkata :

" Apabila salah seorang dari kamu selesai sembahyang di masjid, maka jadikanlah untuk rumahnya itu habuan daripada sembahyangnya . Maka sesunggguhnya Allah menjadikan di rumahnya, daripada solat itu kebaikan. "

Hadis ini direkodkan oleh Imam Muslim, dan disahihkan oleh Ibnu khuzaimah daripada hadis Abi Sai'd .


Komentar DRMAZA :

Kata para ulama, hadis ini memberi satu isyarat kepada kita. Iaitu, galakan menunaikan sembahyang sunat di rumah setelah kita selesai menunaikan sembahyang fardhu di masjid.

Galakan nabi ini, dapat kita lihat apabila baginda berkata,  'Apabila salah seorang dari kita selesai sembahyang di masjid, maka jadikan untuk rumah kita habuan daripada sembahyang kita . Maka sesunggguhnya Allah menjadikan di rumah kita, daripada solat(sunat) itu kebaikan.'

Allah jadikan untuk rumah kita, kebaikan. Maka, di sini dapat kita lihat suasana rumah orang mukmin,   dan muslim. Rumah tangga muslim, padanya ada anasir memuji, membesarkan Allah. Di dalam rumahtangga ini jugalah tempat, di mana manusia beribadah.

Antara sebabnya, hal ini dapat memelihara hati kita daripada riya'(menunjuk-nunjuk amalan baik) dan ta'ajub(berbangga) pada diri sendiri. Apabila kita sembahyang sunat di rumah, orang tidak melihat amalan kita . Amalan kita juga, akan lebih khusyuk(fokus dan rela hati) hanya kerana Allah.

Sembahyang sunat di Masjid hanya digalakkan jika kita mahu mencari pahala iktikaf. Selain daripada mengharapkan pahala iktikaf, baki untuk sembahyang sunat lebih baik kita selesaikan di rumah sahaja. Kerana galakan dari nabi adalah memberi habuan sembahyang sunat itu, untuk kebaikan rumah kita.


Tanggungjawab Menyampaikan Islam

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِىَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ، أَمَّا بَعْدُ ،

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekelian,

Apabila Allah menurunkan nabi Adam ke dunia ini, manusia berada di atas agama Adam. Anak-anak Adam yang lahir, Adam ajarkan kepadanya agama. Kemudian, Ibnu Abbas mengambil rumusan dari buku-buku lama riwayat Israiliyat mengatakan bahawa setelah 10 kurun kemudian, manusia menjadi tidak kenal kepada agama. Lalu, Allah menghantar Nabi Nuh.

Tujuannya, untuk kembali menguatkan dan menerangkan semula tentang Allah, tentang Iman, tentang ajaran Allah, tentang Islam. Dan Allah hantar selepas Nabi Nuh, nabi demi nabi. Bahkan, setiap kaum itu ada nabi.

Sebahagiannya kita tahu namanya, manakala sebahagian yang lain kita tidak tahu nama nabi-nabi tersebut.

Allah menyatakan dalam surah An-Nahl, ayat 36,

 

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

Maksudnya,

Sesungguhnya Kami menghantar bagi setiap umat itu seorang rasul. Kerja rasul itu ialah dia menyeru mereka; ‘hendaklah kamu menyembah Allah dan menjauhkan diri dari setiap yang melampaui batasan Allah’.

 

Allah menghantar nabi demi nabi, kerana manusia tabiatnya suka lupa. Kadangkala dia menyeleweng dari apa yang dibawakan oleh para nabi.

Allah menghantar Nabi Isa, nabi yang hebat. Manusia mengubah dia daripada dia seorang hamba Allah yang lahir secara mukjizat dikatakan menjadi anak Allah.

Untuk itu, Allah tutup dengan menghantar nabi yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad.

Apabila nabi-nabi ini datang, mereka semua mengingatkan tentang tanggunggjawab memastikan agama terus disambung. Oleh itu, kita mendengar apa yang diwasiatkan oleh Nabi Ya`qub sepertimana yang direkodkan oleh Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 133,

 

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي

Maksudnya,

Wahai keturunanku, apa yang kamu akan sembah selepas aku tidak ada nanti?

 

Inilah yang disampaikan oleh para nabi sehingga Nabi Muhammad.

 

Taqlid – Ikut Membabi Buta

Apabila Nabi Muhamma datang, menjadi tabiat masyarakat apabila Nabi muhammad ajar satu perkara, mereka akan katakan ini perkara baru. Sedangkan itu bukan perkara baru, ia telah dimulakan oleh Nabi Adam.

Barangkali kerana mereka baru dengar tentangnya. Barangkali mereka tidak pernah bertanya tentang khabarv tentang ajaran nabi-nabi sebelum ini. Setiap nabi yang datang, antara masalah besar yang dihadapi oleh para nabi ialah satu istilah yang dinamakan ; Ikut secara membabi buta.

blind imitation – ikut tanpa tahu sebab.

Apabila orang bertanya, ‘mengapa kamu lakukan seperti ini?’ semua para nabi akan menghadapi jawapan dari kaumnya seperti yang dirakamkan Allah dalam surah Luqman, ayat 21,

 

بَلْ نَتَّبِعُ مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا

Maksudnya,

Bahkan inilah yang kami dapati daripada datuk nenek kami lakukan. (lalu kami lakukan sepertimana mereka lakukan, kami tidak mahu bertanya sebabnya.)

 

Apabila Nabi Muhammad datang, perkara yang paling sukar ialah hendak merempuh masalah taqlid ini. Masalah manusia perklu berubah kepada tidak boleh mengikut sesuatu yang mereka tidak tahu sebabnya.

Hatta dalam masyarakat Nabi Muhammad. Nabi tidak dibangkitkan dalam masyarakat yang tidak kenal tuhan bernama Allah. Bahkan, Abu Jahal pernah pergi bergantung di kelambu Kaabah pada hari dia mahu pergi berperang dengan Nabi. Dia menyeru ;

Ya Allah, Musanahkan Muhammad! Kerana dia telah membawakan kepada kami sesuatu perkara yang kami tidak tahu. Dia bawakan sesuatu yang baru.

 

Pemikiran – Kami Buat Baik

Apabila para nabi datang, mereka terpaksa menghadapi masalah nak memecahkan pemikiran ini. Bahkan, Nabi Muhammad menghadapi masalah kerana dia hadapi Mekah yang telah ada orang yang bertawaf, dan buat haji tiap-tiap tahun.

Hujah musyrikin Mekah adalah hujah biasa. Kata mereka,

‘Kami sudah buat baik. Kami sudah memakmurkan Masjidil Haram. Orang datang buat haji saban tahun, lalu kami bagi minum. Muhammad, kamu masih mempertikaikan apa yang kami lakukan?!’

Lalu Allah jawab pertanyaan mereka sepertimana yang terdapat dalam surah At-Taubah, ayat 19,

 

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya,

Adakah kamu menjadikan perbuatan memberi minum bagi orang yang mengerjakan haji dan memakmurkan Masjidil Haram sama dengan orang yang beriman kepada Allah, Hari Kemudian, dan berjihad pada jalan Allah? Sesungguhnya tidak sama. Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

 

Islam mesti ditegakkan atas teras iman. Tidak berpada dengan amalan kebajikan dalam keadaan mengikut tanpa dasar faham.

 

Pertanyaan Nabi Pada Haji Terakhir

Nabi meninggal dalam keadaan perjuangan yang bermula dengan beberapa orang individu sehingga berakhir dengan kemenangan. Nabi terpaksa berhijrah, tawan kota Mekah, dan kemudian mengerjakan ibadah Haji yang pertama dan terakhir.

Ahli sirah menyatakan; ketika Nabi keluar hendak menunaikan Haji. Nabi melihat umatnya ramai sesayup mata memandang sedang bergerak menuju ke Arafah, ke tempat-tempat Haram, menuju ke Mina, menuju ke Mekah untuk menunaikan Haji.

Mulut ke mulut orang sampai menyampai, ‘Rasulullah akan mengerjakan Haji’. Para sahabat menyampai berita dengan semangat Islam yang kuat.

Nabi memerintahkan sepertimana yang direkodkan oleh Al-Baihaqi [ 9796 ],

خُذُوا عَنِّى مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya,

Hendaklah kamu mengambil daripada aku, cara ibadat haji kamu.

 

Sahabat melihat, Nabi memberi ucapan di tempat-tempat penting termasuk pada Hari Arafah. Antara yang Nabi tegaskan ialah pertanyaannya seperti yang direkodkan oleh Muslim [ 3009 ],

 

وَأَنْتُمْ تُسْأَلُونَ عَنِّى فَمَا أَنْتُمْ قَائِلُونَ ؟

Maksudnya,

Wahai manusia! Kamu semua akan ditanya mengenaiku, apa yang akan kamu jawab?

 

Para sahabat berkata, ‘Kami bersaksi sesungguhnya engkau telah menyampaikan Islam. Engkau telah menunaikan tanggungjawab Islam. Dan engkau telah menasihati kami mengenai agama Islam.’

Lalu Nabi mengangkat tangannya dan berkata, ‘Ya Allah, saksikanlah bahawa aku telah menjalankan kerjaku.’

Ya, ini perasaan seorang Rasul. Dia telah melalui pelbagai pengorbanan, harta dan nyawa,air mata, tumpah darah, penderitaan perasaan, dan meninggalkan kampung halaman. Pun begitu, di saat akhir hayat seorang nabi yang ditabalkan, dia mahu menenangkan hatinya dengan bertanya, ‘Adakah aku sudah melaksanakan tanggungjawab kerja?’

Persoalannya, adakah kita sudah menjalankan tanggungjawab agama kita? Sehingga kita mampu bersaksi di hadapan Allah? Justeru, Allah berkata dalam surah Al-Baqarah, ayat 214,

 

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

Maksudnya,

Adakah kamu sangka kamu akan dapat memasuki syurga sedangkan belum datang kepada kamu ujian yang telah mengenai orang-orang sebelum kamu? Sehingga digoncang keimanan mereka, digoncang kekuatan mereka. Sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersama dengannya, ‘bilakah lagi datangnya pertolongan Allah?’ ‘Sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir’.

 

Allah nyatakan, peringkat derita ujian ini menyebabkan manusia masuk ke Syurga. Namun setakat manusia duduk bersandar lalu menghitung hari hendak masuk ke syurga, malangnya mereka ini masih jauh dengan Syurga. Jika manusia masih membawa Islam dalam keadaan senang lenang, menunjukkan mereka masih jauh lagi untuk pergi ke Syurga.

 

Tanggungjawab Menyampaikan Islam

Rasulullah meninggal dunia. Kerjanya disambung oleh para sahabat.

Di Jordan, terdapat kubur Abu Ubaidah Al-Jarah. Saya suka dengan Abu Ubaidah ini. Seorang sahabat yang nabi sayang. Nabi gelar beliau sebagai “Aminul Ummah – Pemegang Amanah Umat”.

Abu Ubaidah dijamin syurga oleh Nabi. Tetapi, apabila Nabi meninggal dunia, dia tidak duduk di rumah sahaja dan mengira waktu masuk ke Syurga. Dia meninggal kerana penyakit Taun di Jordan.

Di zaman Umar Al-Khattab, Abu Ubaidah dilantik menjadi gabenor. Lantas dia menghantar surat rungutan kepada Umar. Katanya, ‘Orang lain semua berpeluang berjihad. Sedangkan kau hantar aku menjadi gabenor sehinggakan aku terpaksa menunggu kawasan ini.’

Rumah Abu Ubaidah sangat sederhana. Umar sangat sayang Abu Ubaidah. Kata Umar, ‘Jikalah boleh aku ini bercita-cita, aku ingin bercita-cita akan satu tempat yang dipenuhi oleh lelaki-lelaki seperti Abu Ubaidah Al-Jarah’.

Bilal bin Rabbah seorang yang sangat dikasihi Nabi. Seorang pelaung azan Nabi. Dia pergi berjihad sehingga ke Syam, Syria.

Abu Ayyub Al-Ansari, Nabi bermalam dirumahnya. Dia menjemput Nabi untuk duduk di tingkat atas rumahnya, namun Nabi enggan. Nabi mahu duduk ditingat bawah. Cerita Abu Ayub, ‘Kadang-kadang air tumpah, kami susah hati bimbang menggangu Nabi di bawah rumah. Lalu kami ambil baju kami untuk mengelap air supaya tidak menggangu Rasulullah.’

Bila Nabi meninggal dunia, Abu Ayub pergi membuka kota-kota Islam sehingga ke sempadan Turki.

Justeru, makna perjuangan, makna tanggungjawab Muslim, dan makna kita sebagai Muslim adalah mesti menyampaikan risalah Islam.

Ceramah bukan soal duit, bukan soal kekayaan. Alhamdulillah, tak kaya dengan ceramah pun. Tetapi ceramah soal tanggungjawab. Soal menyampaikan Islam. Bila ia disekat, maka kekuatan telah dibunuh.

Ibnu Taimiah, apabila dia sakit, doktor menasihatkannya supaya jangan banyak membaca, menulis, dan menyampaikan ilmu. Ambil masa untuk berehat. Lantas Ibnu Taimiah berkata, ‘Jika engkau menghalang itu,maka engkau telah menghalang kehidupanku. Itulah kekuatanku, itulah hidupku!’

 

Tajdid dan Mujaddid

Nabi menyebutkan pelbagai perkara sebelum baginda meninggal dunia. Antaranya ialah apa yang direkodkan oleh Abu Daud [ 4293 ],

 

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya,

Allah akan hantar bagi umat ini, bagi setiap kepala seratus tahun, orang yang akan melakukan pembaharuan pada agama.

 

Bukanlah yang dimaksudkan dengan ‘pembaharuan agama’ itu bermakna membina agama yang baru. Tetapi yang dimaksudkannya ialah mengembalikan rupa asal.

Seperti kita katakan, ‘Nampak barulah kereta kamu’. Bukan bermaksud dia membeli kereta baru. Tetapi kereta itu dicat semula dan dikembalikan keadaan seperti yang asal.

Perkataan “Jadid” bermaksud asal, sepertimana yang disebutkan dalam surah Ar-Ra`d, ayat 5,

 

أَإِنَّا لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ

Maksudnya,

Adakah kami kembali kepada rupa yang asal?

 

Dalam setiap zaman, Allah akan bangkitkan orang-orang yang bertanggungjawab. Samada individu, kumpulan, atau masyarakat tertentu.

Antara yang mujadid yang terkenal dalam sejarah ialah Umar bin Abdul Aziz. Dia adalah seorang mujadid yang terkenal dan disepakati.

Dia telah melakukan pembaharuan di dalam politik kerajaan Bani Umayyah. Bukan kerana kerajaan Bani Umayyah dan rakyat kafir, tidak! Tetapi kerana berlaku kepincangan. Lalu Allah mentakdirkan insan ini bangkit.

Sejarah merekodkan bahawa Umar Abdul Aziz ini ketika menjadi gabenor, bajunya mahal, dan wangi-wangiannya juga mahal. Tetapi Allah takdirkan, apabila dia naik menjadi Khalifah, berubah wataknya. Benar-benar berubah.

Sehinggakan ketika dia bangkit hendak ke mimbar untuk menerima jawatan Khalifah, dia bangkit dengan lemah. Dia melakukan pembaharuan sekalipun hanya dua tahun lebih sahaja memerintah.

 

Imam Ahmad dan Musuh utama Mujaddid Islam

Antara tokoh pembaharuan juga ialah Imam Ahmad bin Hambal. Dia ialah pengasas Mazhab Hambali. Ketika zamannya, Mazhab negara ialah Muktazilah.

Imam Ahmad terpaksa menghadapi Khalifah Al-Makmun dan Al-Muktasim. Khalifah yang kuat berpegang dengan muktazilah atas hasutan dan ampuan ulama Muktazilah.

Ketika itu berlaku masalah, ‘Al-Quran itu Makhluk atau Qadim?’

Bila para ulama dipanggil dan ditanya soalan tersebut, ada dikalangan mereka yang menjawab sambil mengira dengan menutup jarinya,

Mereka berkata, ‘Taurat, Zabur, Injil, dan Al-Quran. – kemudian diam seketika- Empat ini (sambil menunjukkan keempat-empat jari) ialah makhluk.’

Bila ditanya, ‘Apa yang engkau maksudkan ini Tuan Guru?’ Mereka menjawab, ‘Aku kata, empat ini bukanlah Al-Quran atau injil, (atau selainnya) tetapi empat itu ialah jari aku.’

Perbuatan ini disebutkan sebagai “At-Tauriah” atau helah. Mereka lakukan kerana bimbang dihukum oleh Khalifah.

Namun, Imam Ahmad ialah nama besar. Apabila orang menasihati Imam Ahmad supaya bertolak ansur. Tetapi jawab Imam Ahmad, ‘Aku boleh bertolak ansur, tetapi cuba kamu tengok di luar rumah aku.’

Apabila penasihat-penasihat itu melihat ke luar rumah Imam Ahmad, kelihatan ribuan atau ratusan sarjana bersama kertas dan pena sedang menunggu fatwa Ahmad bin Hambal dalam isu ini.

Kata Imam Ahmad, ‘Jika aku tidak tegas, manusia akan rosak. Maka aku terpaksa bercakap yang benar. Aku mesti menjelaskan pendirian Islam terhadap hal ini’

Lalu, Imam Ahmad dibawa ke penjara dengan digari. Ketika dia dibawa, ulama-ulama lain menasihatkan Imam Ahmad, ‘Wahai Ahmad! Hari ini engkau adalah kepala. Engkau jangan beralah. Jika engkau beralah, engkau berundur dari pendirian Islammu, maka nescaya orang ramai selapas ini akan keliru tentang apakah pendirian Ahli Sunnah yang sebenar.’

Imam Ahmad adalah seorang manusia. Dia bukan malaikat. Lalu dia berkata, ‘Aku ini, jika diperintahkan untuk dipancung, aku tidak bimbang sangat. Begitu juga dengan penjara. Tetapi aku bimbang kesakitan apabila disebat.’

Bila dia sampai ke tempat untuk disebat. Berkatalah orang yang sudah pernah disebat, ‘Wahai Imam, jangan takut! Sebat ini kesakitannya hanya dirasai dua kali sahaja. Kali pertama dan kedua memang sangat sakit, kemudian selepas itu sudah tidak ada rasa lagi.’

Imam Adzahabi merekdokan bahawa setelah itu Imam Ahmad berkata, ‘Jika begitu, senanglah hatiku.’

Walaupun Imam Ahmad seorang tokoh besar, dia juga seorang manusia yang juga mempunyai rasa bimbang. Namun dilaporkan bahawa Imam Ahmad tidak pernah rasa takut.

Imam Ahmad pernah berdoa, ‘Ya Allah, aku pohon padamu, aku tidak mahu lihat muka Makmun!’ Ditakdirkan Makmun meninggal dunia sebelum dia berjaya menangkap Imam Ahmad buat kali kedua.

Setelah itu, Khalifah Muktasim pula menggantikan Makmun. Pada mulanya, Muktasim tidak ambil kisah sangat hal ini. Namun, hasil hasutan Ahmad bin Abi Duat. Katanya, ‘Jika Khalifah tidak mengambil tindakan kepada Imam Ahmad, bermakna Khalifah membiarkan orang mencabar kuasa kerajaan. Jika tidak mengambil tindakan, bererti Khalifah tidak hormat kepada Makmun yang dahulunya merupakan orang disayangi rakyat. Dan Makmun tidak sukakan Imam Ahmad!’

Al-Muktasim panggil Imam Ahmad dan memintanya untuk menarik balik pendirian tersebut. Kata Imam Ahmad ‘ Aku tidak boleh.’ Orang ramai pun menasihati beliau untuk menarik kembali pendiriannya. Namun Imam Ahmad berkata, ‘ Nabi sebut orang dahulu lebih teru, sekalipun digergaji dengan gergaji besi, mereka tidak menarik pendirian mereka.’

Imam Ahmad diletak dikeldai, dibawa keliling kota Baghdad. Disebat bagai orang yang bersalah. Dia disebat ketika bulan puasa. Dia disebat dalam keadaan berpuasa. Dia ialah Imam besar, Imam Mazhab!

Ulama-ulama pengampu Khalifah yang melihat ketika Imam Ahmad disebat berkata, ‘Bunuh dia, wahai Khalifah! Dosanya kami tanggung.’

 

Imam Al-Bukhari, Imam Malik, dan Ibnu Taimiah

Dalam sejarah Imam Al-Bukhari juga demikian. Dia dibuang dari kampung halamannya kerana sikap hasad.

Imam Malik dalam fatwanya menolak pendangan Abu Jaafar Al-Mansur. Abu Jaafar tidak mahu rakyat merongkaikan janji setia, lalu dia memberi hukum kepada siapa yang merungkai janji setia, maka isterinya tertalak.

Imam Malik membangkang hal ini. Imam malik berkata, ‘Tidak ada talak kepada orang dipaksa.’

Lalu Imam Malik dibawa dan dipukul oleh pemerintah yang dihasut oleh ulama yang berhasad dengki. Dilaporkan dari anak murid Imam Malik, bahawa ‘Apabila kami pergi ke Majlis Imam Malik, bila dia bangun, dia akan ampu tangannya yang satu lagi. Sebab bahunya tercabut akibat dipukul oleh Khalifah.’

Zaman demi zaman, Allah menghantar manusia untuk membetulkan urusan agama. Mereka ini tidak menghadapi orang kafir, tetapi mereka menghadapi orang Islam. Kerana bila mahu membetulkan agama, perlu membetulkan umatnya sendiri.

Demikianlah nasib yang sama diterima oleh Ibnu Taimiah.

WallahuAlam

Lelaki biar berjanggut

Direkodkan oleh At-Turmizi [31], bahawa Uthman pernah menceritakan keadaan Wudhuk Nabi;

Maksudnya,
Bahawa Nabi memasukkan jari-jarinya dalam janggutnya ketika dia berwudhuk.

Komentar Dr. MAZA,
 
Seeloknya lelaki hendaklah mempunyai janggut. Ulama berbeza pendapat dalam hukum janggut ini.

Ulama Hadis mengharamkan perbuatan mencukur janggut. Sebahagian ulama yang lain pula memberikan hukum ‘Makruh’. Walaubagaimanapun, terdapat rekod dari Aisyah, bahawa beliau berkata :

Maksudnya,
Maha suci Allah yang telah menghiasi orang lelaki dengan janggut.





Memasukkan air ke dalam hidung

Direkodkan oleh At-Turmizi [788], bahawa Rasulullah pernah berkata,
 
Untitled

Maksudnya,
Bersungguhlah ketika mengenakan air Wudhuk. Selatilah antara jari-jari, dan bersungguh-sungguhlah memasukkan air ke dalam hidung. Melainkan jika kamu berpuasa.

Komentar Dr. MAZA,

Jika berpuasa, maka berhati-hatilah ketika memasukkan air ke dalam hidung. Dibimbangi air masuk ke rongga dalam. Namun, jika tidak disengajakan lalu air tersebut masuk ke dalam rongga, maka ia tidak membatalkan puasa. Tetapi, janganlah dibuat secara sengaja.

Bagi mengelakkan terjadi hal itu dari awal, Nabi menyebutkan bahawa ; jika berpuasa, tidak perlulah memasukkan air ke dalam hidung dengan bersungguh-sungguh. Namun jika tidak dalam keadaan berpuasa, maka Nabi menyuruh untuk bersungguh-sungguh melakukan perbuatan tersebut.




Larangan merendam tangan ke dalam bekas air selepas bangun tidur

Direkodkan oleh Muslim [665] bahawa Rasulullah pernah berkata,
 
Untitled

Maksudnya,
Apabila salah seorang dari kamu bangun dari tidur, janganlah dia merendam tangannya di dalam air. Sehinggalah dia membersihkan dahulu tangannya. Keranda dia tidak tahu dimanakah tangannya berada ketika dia tidur.

Komentar Dr. MAZA

Nabi Muhammad melarang seorang Muslim yang baru bangun dari tidurnya, kemudian terus merendam tangan di dalam air. Dibimbangi tangannya mempunyai kekotoran.

Inilah agama Islam yang sangat indah. Ia sangat prihatin terhadap aspek kebersihan. Justeru, tidak sesuai bagi seorang Muslim apabila rumahnya sangat kotor. Wanita perlu memberi perhatian khusus atas hal ini.




Dengan Nama Allah. Kami Mulakan.

Laman ini adalah laman pengumpulan koleksi soal jawab bersama Dr. Muhd Asri Zainul Abidin. Ia tidak dikelolakan oleh Dr. Muhd Asri. Tetapi dikelolakan oleh Ustaz Syihabudin Ahmad dan Ustazah Zaharoh binti Fajar Nina.

Semoga laman ini memberi manfaat yang berguna buat seluruh umat Islam dan masyarakat Malaysia.

Dengan nama Allah. Kami mulakan.