Asas penting memahami mazhab.

Memahami mazhab.

Asas memahami mazhab, penting untuk kita ketahui. Terutamanya memahami mazhab majoriti di Malaysia iaitu Mazhab asy-syafie.

Para ilmuan islam menyuruh kita menghormati para imam terutamanya imam-imam besar seperti Imam-imam yang empat. Namun, kita dilarang sama sekali daripada menjadi pemfanatik mazhab. Sehingga sampai ke suatu tahap, sikap fanatik mazhab ini boleh  menimbulkan permusuhan dengan mazhab lain semata-mata kerana berbeza peganganan dengan mazhab kita.

Perlu difahami, apa mazhab sekalipun, wajib dihormati  pandangan-pandangan mereka selagi mana mazhab itu berada dalam kalangan Ahli sunnah wal jamaah. Sselagi pandangan mereka dibina di atas bukti dari al-quran dan hadis yang soheh, mereka termasuk mazhab kaum muslimin yang wajib dihormati pandangan mereka.

Imam asy-syafie merupakan bintang besar di dalam ilmu fiqah islam. Sebelum adanya Imam Syafie, telah ada Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan bersama pada zamannya ada Imam Ahmad Bin Hambal. Secara umumnya, kemunculan mazhab ini  sepertimana munculnya guru-guru besar yang menghuraikan masalah fiqah kepada orang awam. Cuma Imam Syafie, seperti juga Imam yang lain,  ada beberapa kelebihan dan anugerah yang Allah kurniakan  kepada mereka.

Kurniaan dan anugerah kepada Asy-syafie.

Antara kurniaan asal kepada Imam Syafie, beliau lahir dari keturunan nabi Muhammad (selawat dan salam keatas baginda). Inilah kurniaan keturunan kepada beliau. Tiada sesiapa yang membuat pilihan ini, melainkan itulah pilihan Allah kepadanya.

Kemudian, Imam Asy-Syafie bertemu dengan guru-guru besar dalam kalangan mazhab Abu Hanifah, seperti Muhammad Hasan Asy-Syaibani di Baghdad. Dan dia berguru sendiri dengan Imam Malik dan dia pula menjadi guru kepada Imam Ahmad bin Hambal.

Hasil dari perjalanan ilmu Imam Syafie ini, menjadikan seolah-olah dataran mazhab itu berada dihadapannya. Atas sebab inilah,Imam Syafie juga terkenal sebagai penghimpun antara aliran mazhab Abu Hanifah dengan Mazhab hadis iaitu mazhab Ahmad bin Hambal.

Selain itu, Imam Syafie dikenali juga dengan gelaran Al -imaam Naasirus sunnah iaitu Imam pembela sunnah.  Imam Syafie, merupakan orang yang pertama menulis kitab Al-ushuul fil fiqh (asal kepada ilmu feqah). Kitab yang diberi nama Ar-Risaalah.

Kitab ini ditulis setelah beliau menulis kitab terbesar beliau di dalam Feqah yang baru iaitu  kitab Al-umm. Kitab asal Al-Umm ditulis lebih kurang 1200 tahun yang lalu. Al-Umm merupakan simbolik feqah terbesar Imam Syafie yang pernah beliau tulis . Kitab ini, menjadi rujukan terakhir kepada keputusan-keputusan feqah beliau, di Mesir.

Mengapa dipanggil 'pembela sunnah'?

Kerana, beliau bangkit membela sunnah nabi yang ketika itu di zamannya telah ada desas-desus golongan yang hanya mahu berpegang dengan Al-quran tanpa mahu berpegang dengan sunnah. Maka, tulisan Ar-risalah, menyimpan banyak huraian-huraian hebat Imam Syafie. Menghuraikan mengenai bagaimana kewajiban muslim untuk berpegang al-quran, sekaligus dengan sunnah nabi.

Allah sudah memberi kaedah kepada kita bahawa, yang suci dari dosa hanyalah nabi muhammad dan para nabi-nabi sebelumnya. Imam-imam, semuanya kita hormati. Namun, sebagai orang yang membaca Feqah as-syafie, kita tidak boleh berkata "yang benar di dalam feqah ini, Syafie sahaja. Yang lain selain Syafie mengarut belaka. tak boleh."

Kita mengakui bahawaa Imam syafie merupakan seorang mujtahid dan ilmuan islam yang terlalu hebat. Tetapi, dari suatu sisi lain kita juga perlu melihat bahawa kebenaran ini tetap berada kepada sesiapa yang ALLAH kehendaki.

Kata Syafie: " Apabila aku berdebat dengan seseorang, aku harap kebenaran terbit dari lidahnya. "

Komentar DRmAZA

Sewajarnya, kita contohi ImamSyafie. Beliau berkata kalau aku berdebat dengan orang, aku mahukan kebenaran. Biarlah orang itu bercakap benar, mudah-mudahan aku dapat manfaat. Inilah hebatnya Imam  Syafie. Sebab peribadi mulia inilah, para Imam ini diangkat oleh Allah menjadi jaguh. Kalau kita, selain mazhab syafie saja seolah semuanya salah. Maka  disini juga kita seharusnya, menurut contoh dari Imam Asy-syafie.

Qadhi Abdul Jabbar

Kita lihat, kesan daripada kehebatan seorang imam. Bagaimana orang yang mengikut Imam dengan cara yang betul. Antaranya, Qadhi Abdul Jabbar. Beliau merupakan seorang yang banyak menulis di dalam ilmu Ushul feqah dan berpegang teguh dengan mazhab syafie, dan beliau sangat kuat berpegang denga mazhab ini.

Tetapi, apabila sampai dalam beberapa bab, pandangannya berbeza dengan pandangan Imam As-syafie. Katanya:
 " و الشافعي كبير. والحقُّ أكْبر منه"
-Syafie itu agung dan hebat. Tetapi, kebenaran lebih agung daripadanya-.

Maksudnya, ada beberapa pandangan beliau sedikit berbeza dengan pandangan Imam Asy-syafie sedangkan dia pengikut tegar Imam Syafie. Tatkala perbezaan itu berlaku, dia tidak menafikan kehebatan Imam Syafie. Bahkan dia mengakui kehebatan, tetap dia menyedari bahawa kebenaran tetap lebih agung dari Asy-syafie.

Demikianlah didikan Asy-syafie kepada anak didiknya dan pengikutnya agar terus berpegang dengan kitab Allah dan rasul-Nya. Terus berpegang dengan kebenaran dan bukan fanatik buta terhadap dirinya.