Galakan menunaikan solat sunat di rumah.


Jabir bercerita bahawa Rasulullah pernah berkata :

" Apabila salah seorang dari kamu selesai sembahyang di masjid, maka jadikanlah untuk rumahnya itu habuan daripada sembahyangnya . Maka sesunggguhnya Allah menjadikan di rumahnya, daripada solat itu kebaikan. "

Hadis ini direkodkan oleh Imam Muslim, dan disahihkan oleh Ibnu khuzaimah daripada hadis Abi Sai'd .


Komentar DRMAZA :

Kata para ulama, hadis ini memberi satu isyarat kepada kita. Iaitu, galakan menunaikan sembahyang sunat di rumah setelah kita selesai menunaikan sembahyang fardhu di masjid.

Galakan nabi ini, dapat kita lihat apabila baginda berkata,  'Apabila salah seorang dari kita selesai sembahyang di masjid, maka jadikan untuk rumah kita habuan daripada sembahyang kita . Maka sesunggguhnya Allah menjadikan di rumah kita, daripada solat(sunat) itu kebaikan.'

Allah jadikan untuk rumah kita, kebaikan. Maka, di sini dapat kita lihat suasana rumah orang mukmin,   dan muslim. Rumah tangga muslim, padanya ada anasir memuji, membesarkan Allah. Di dalam rumahtangga ini jugalah tempat, di mana manusia beribadah.

Antara sebabnya, hal ini dapat memelihara hati kita daripada riya'(menunjuk-nunjuk amalan baik) dan ta'ajub(berbangga) pada diri sendiri. Apabila kita sembahyang sunat di rumah, orang tidak melihat amalan kita . Amalan kita juga, akan lebih khusyuk(fokus dan rela hati) hanya kerana Allah.

Sembahyang sunat di Masjid hanya digalakkan jika kita mahu mencari pahala iktikaf. Selain daripada mengharapkan pahala iktikaf, baki untuk sembahyang sunat lebih baik kita selesaikan di rumah sahaja. Kerana galakan dari nabi adalah memberi habuan sembahyang sunat itu, untuk kebaikan rumah kita.