Tanggungjawab Menyampaikan Islam

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِىَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ، أَمَّا بَعْدُ ،

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekelian,

Apabila Allah menurunkan nabi Adam ke dunia ini, manusia berada di atas agama Adam. Anak-anak Adam yang lahir, Adam ajarkan kepadanya agama. Kemudian, Ibnu Abbas mengambil rumusan dari buku-buku lama riwayat Israiliyat mengatakan bahawa setelah 10 kurun kemudian, manusia menjadi tidak kenal kepada agama. Lalu, Allah menghantar Nabi Nuh.

Tujuannya, untuk kembali menguatkan dan menerangkan semula tentang Allah, tentang Iman, tentang ajaran Allah, tentang Islam. Dan Allah hantar selepas Nabi Nuh, nabi demi nabi. Bahkan, setiap kaum itu ada nabi.

Sebahagiannya kita tahu namanya, manakala sebahagian yang lain kita tidak tahu nama nabi-nabi tersebut.

Allah menyatakan dalam surah An-Nahl, ayat 36,

 

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

Maksudnya,

Sesungguhnya Kami menghantar bagi setiap umat itu seorang rasul. Kerja rasul itu ialah dia menyeru mereka; ‘hendaklah kamu menyembah Allah dan menjauhkan diri dari setiap yang melampaui batasan Allah’.

 

Allah menghantar nabi demi nabi, kerana manusia tabiatnya suka lupa. Kadangkala dia menyeleweng dari apa yang dibawakan oleh para nabi.

Allah menghantar Nabi Isa, nabi yang hebat. Manusia mengubah dia daripada dia seorang hamba Allah yang lahir secara mukjizat dikatakan menjadi anak Allah.

Untuk itu, Allah tutup dengan menghantar nabi yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad.

Apabila nabi-nabi ini datang, mereka semua mengingatkan tentang tanggunggjawab memastikan agama terus disambung. Oleh itu, kita mendengar apa yang diwasiatkan oleh Nabi Ya`qub sepertimana yang direkodkan oleh Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 133,

 

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي

Maksudnya,

Wahai keturunanku, apa yang kamu akan sembah selepas aku tidak ada nanti?

 

Inilah yang disampaikan oleh para nabi sehingga Nabi Muhammad.

 

Taqlid – Ikut Membabi Buta

Apabila Nabi Muhamma datang, menjadi tabiat masyarakat apabila Nabi muhammad ajar satu perkara, mereka akan katakan ini perkara baru. Sedangkan itu bukan perkara baru, ia telah dimulakan oleh Nabi Adam.

Barangkali kerana mereka baru dengar tentangnya. Barangkali mereka tidak pernah bertanya tentang khabarv tentang ajaran nabi-nabi sebelum ini. Setiap nabi yang datang, antara masalah besar yang dihadapi oleh para nabi ialah satu istilah yang dinamakan ; Ikut secara membabi buta.

blind imitation – ikut tanpa tahu sebab.

Apabila orang bertanya, ‘mengapa kamu lakukan seperti ini?’ semua para nabi akan menghadapi jawapan dari kaumnya seperti yang dirakamkan Allah dalam surah Luqman, ayat 21,

 

بَلْ نَتَّبِعُ مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا

Maksudnya,

Bahkan inilah yang kami dapati daripada datuk nenek kami lakukan. (lalu kami lakukan sepertimana mereka lakukan, kami tidak mahu bertanya sebabnya.)

 

Apabila Nabi Muhammad datang, perkara yang paling sukar ialah hendak merempuh masalah taqlid ini. Masalah manusia perklu berubah kepada tidak boleh mengikut sesuatu yang mereka tidak tahu sebabnya.

Hatta dalam masyarakat Nabi Muhammad. Nabi tidak dibangkitkan dalam masyarakat yang tidak kenal tuhan bernama Allah. Bahkan, Abu Jahal pernah pergi bergantung di kelambu Kaabah pada hari dia mahu pergi berperang dengan Nabi. Dia menyeru ;

Ya Allah, Musanahkan Muhammad! Kerana dia telah membawakan kepada kami sesuatu perkara yang kami tidak tahu. Dia bawakan sesuatu yang baru.

 

Pemikiran – Kami Buat Baik

Apabila para nabi datang, mereka terpaksa menghadapi masalah nak memecahkan pemikiran ini. Bahkan, Nabi Muhammad menghadapi masalah kerana dia hadapi Mekah yang telah ada orang yang bertawaf, dan buat haji tiap-tiap tahun.

Hujah musyrikin Mekah adalah hujah biasa. Kata mereka,

‘Kami sudah buat baik. Kami sudah memakmurkan Masjidil Haram. Orang datang buat haji saban tahun, lalu kami bagi minum. Muhammad, kamu masih mempertikaikan apa yang kami lakukan?!’

Lalu Allah jawab pertanyaan mereka sepertimana yang terdapat dalam surah At-Taubah, ayat 19,

 

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya,

Adakah kamu menjadikan perbuatan memberi minum bagi orang yang mengerjakan haji dan memakmurkan Masjidil Haram sama dengan orang yang beriman kepada Allah, Hari Kemudian, dan berjihad pada jalan Allah? Sesungguhnya tidak sama. Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

 

Islam mesti ditegakkan atas teras iman. Tidak berpada dengan amalan kebajikan dalam keadaan mengikut tanpa dasar faham.

 

Pertanyaan Nabi Pada Haji Terakhir

Nabi meninggal dalam keadaan perjuangan yang bermula dengan beberapa orang individu sehingga berakhir dengan kemenangan. Nabi terpaksa berhijrah, tawan kota Mekah, dan kemudian mengerjakan ibadah Haji yang pertama dan terakhir.

Ahli sirah menyatakan; ketika Nabi keluar hendak menunaikan Haji. Nabi melihat umatnya ramai sesayup mata memandang sedang bergerak menuju ke Arafah, ke tempat-tempat Haram, menuju ke Mina, menuju ke Mekah untuk menunaikan Haji.

Mulut ke mulut orang sampai menyampai, ‘Rasulullah akan mengerjakan Haji’. Para sahabat menyampai berita dengan semangat Islam yang kuat.

Nabi memerintahkan sepertimana yang direkodkan oleh Al-Baihaqi [ 9796 ],

خُذُوا عَنِّى مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya,

Hendaklah kamu mengambil daripada aku, cara ibadat haji kamu.

 

Sahabat melihat, Nabi memberi ucapan di tempat-tempat penting termasuk pada Hari Arafah. Antara yang Nabi tegaskan ialah pertanyaannya seperti yang direkodkan oleh Muslim [ 3009 ],

 

وَأَنْتُمْ تُسْأَلُونَ عَنِّى فَمَا أَنْتُمْ قَائِلُونَ ؟

Maksudnya,

Wahai manusia! Kamu semua akan ditanya mengenaiku, apa yang akan kamu jawab?

 

Para sahabat berkata, ‘Kami bersaksi sesungguhnya engkau telah menyampaikan Islam. Engkau telah menunaikan tanggungjawab Islam. Dan engkau telah menasihati kami mengenai agama Islam.’

Lalu Nabi mengangkat tangannya dan berkata, ‘Ya Allah, saksikanlah bahawa aku telah menjalankan kerjaku.’

Ya, ini perasaan seorang Rasul. Dia telah melalui pelbagai pengorbanan, harta dan nyawa,air mata, tumpah darah, penderitaan perasaan, dan meninggalkan kampung halaman. Pun begitu, di saat akhir hayat seorang nabi yang ditabalkan, dia mahu menenangkan hatinya dengan bertanya, ‘Adakah aku sudah melaksanakan tanggungjawab kerja?’

Persoalannya, adakah kita sudah menjalankan tanggungjawab agama kita? Sehingga kita mampu bersaksi di hadapan Allah? Justeru, Allah berkata dalam surah Al-Baqarah, ayat 214,

 

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

Maksudnya,

Adakah kamu sangka kamu akan dapat memasuki syurga sedangkan belum datang kepada kamu ujian yang telah mengenai orang-orang sebelum kamu? Sehingga digoncang keimanan mereka, digoncang kekuatan mereka. Sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersama dengannya, ‘bilakah lagi datangnya pertolongan Allah?’ ‘Sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir’.

 

Allah nyatakan, peringkat derita ujian ini menyebabkan manusia masuk ke Syurga. Namun setakat manusia duduk bersandar lalu menghitung hari hendak masuk ke syurga, malangnya mereka ini masih jauh dengan Syurga. Jika manusia masih membawa Islam dalam keadaan senang lenang, menunjukkan mereka masih jauh lagi untuk pergi ke Syurga.

 

Tanggungjawab Menyampaikan Islam

Rasulullah meninggal dunia. Kerjanya disambung oleh para sahabat.

Di Jordan, terdapat kubur Abu Ubaidah Al-Jarah. Saya suka dengan Abu Ubaidah ini. Seorang sahabat yang nabi sayang. Nabi gelar beliau sebagai “Aminul Ummah – Pemegang Amanah Umat”.

Abu Ubaidah dijamin syurga oleh Nabi. Tetapi, apabila Nabi meninggal dunia, dia tidak duduk di rumah sahaja dan mengira waktu masuk ke Syurga. Dia meninggal kerana penyakit Taun di Jordan.

Di zaman Umar Al-Khattab, Abu Ubaidah dilantik menjadi gabenor. Lantas dia menghantar surat rungutan kepada Umar. Katanya, ‘Orang lain semua berpeluang berjihad. Sedangkan kau hantar aku menjadi gabenor sehinggakan aku terpaksa menunggu kawasan ini.’

Rumah Abu Ubaidah sangat sederhana. Umar sangat sayang Abu Ubaidah. Kata Umar, ‘Jikalah boleh aku ini bercita-cita, aku ingin bercita-cita akan satu tempat yang dipenuhi oleh lelaki-lelaki seperti Abu Ubaidah Al-Jarah’.

Bilal bin Rabbah seorang yang sangat dikasihi Nabi. Seorang pelaung azan Nabi. Dia pergi berjihad sehingga ke Syam, Syria.

Abu Ayyub Al-Ansari, Nabi bermalam dirumahnya. Dia menjemput Nabi untuk duduk di tingkat atas rumahnya, namun Nabi enggan. Nabi mahu duduk ditingat bawah. Cerita Abu Ayub, ‘Kadang-kadang air tumpah, kami susah hati bimbang menggangu Nabi di bawah rumah. Lalu kami ambil baju kami untuk mengelap air supaya tidak menggangu Rasulullah.’

Bila Nabi meninggal dunia, Abu Ayub pergi membuka kota-kota Islam sehingga ke sempadan Turki.

Justeru, makna perjuangan, makna tanggungjawab Muslim, dan makna kita sebagai Muslim adalah mesti menyampaikan risalah Islam.

Ceramah bukan soal duit, bukan soal kekayaan. Alhamdulillah, tak kaya dengan ceramah pun. Tetapi ceramah soal tanggungjawab. Soal menyampaikan Islam. Bila ia disekat, maka kekuatan telah dibunuh.

Ibnu Taimiah, apabila dia sakit, doktor menasihatkannya supaya jangan banyak membaca, menulis, dan menyampaikan ilmu. Ambil masa untuk berehat. Lantas Ibnu Taimiah berkata, ‘Jika engkau menghalang itu,maka engkau telah menghalang kehidupanku. Itulah kekuatanku, itulah hidupku!’

 

Tajdid dan Mujaddid

Nabi menyebutkan pelbagai perkara sebelum baginda meninggal dunia. Antaranya ialah apa yang direkodkan oleh Abu Daud [ 4293 ],

 

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya,

Allah akan hantar bagi umat ini, bagi setiap kepala seratus tahun, orang yang akan melakukan pembaharuan pada agama.

 

Bukanlah yang dimaksudkan dengan ‘pembaharuan agama’ itu bermakna membina agama yang baru. Tetapi yang dimaksudkannya ialah mengembalikan rupa asal.

Seperti kita katakan, ‘Nampak barulah kereta kamu’. Bukan bermaksud dia membeli kereta baru. Tetapi kereta itu dicat semula dan dikembalikan keadaan seperti yang asal.

Perkataan “Jadid” bermaksud asal, sepertimana yang disebutkan dalam surah Ar-Ra`d, ayat 5,

 

أَإِنَّا لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ

Maksudnya,

Adakah kami kembali kepada rupa yang asal?

 

Dalam setiap zaman, Allah akan bangkitkan orang-orang yang bertanggungjawab. Samada individu, kumpulan, atau masyarakat tertentu.

Antara yang mujadid yang terkenal dalam sejarah ialah Umar bin Abdul Aziz. Dia adalah seorang mujadid yang terkenal dan disepakati.

Dia telah melakukan pembaharuan di dalam politik kerajaan Bani Umayyah. Bukan kerana kerajaan Bani Umayyah dan rakyat kafir, tidak! Tetapi kerana berlaku kepincangan. Lalu Allah mentakdirkan insan ini bangkit.

Sejarah merekodkan bahawa Umar Abdul Aziz ini ketika menjadi gabenor, bajunya mahal, dan wangi-wangiannya juga mahal. Tetapi Allah takdirkan, apabila dia naik menjadi Khalifah, berubah wataknya. Benar-benar berubah.

Sehinggakan ketika dia bangkit hendak ke mimbar untuk menerima jawatan Khalifah, dia bangkit dengan lemah. Dia melakukan pembaharuan sekalipun hanya dua tahun lebih sahaja memerintah.

 

Imam Ahmad dan Musuh utama Mujaddid Islam

Antara tokoh pembaharuan juga ialah Imam Ahmad bin Hambal. Dia ialah pengasas Mazhab Hambali. Ketika zamannya, Mazhab negara ialah Muktazilah.

Imam Ahmad terpaksa menghadapi Khalifah Al-Makmun dan Al-Muktasim. Khalifah yang kuat berpegang dengan muktazilah atas hasutan dan ampuan ulama Muktazilah.

Ketika itu berlaku masalah, ‘Al-Quran itu Makhluk atau Qadim?’

Bila para ulama dipanggil dan ditanya soalan tersebut, ada dikalangan mereka yang menjawab sambil mengira dengan menutup jarinya,

Mereka berkata, ‘Taurat, Zabur, Injil, dan Al-Quran. – kemudian diam seketika- Empat ini (sambil menunjukkan keempat-empat jari) ialah makhluk.’

Bila ditanya, ‘Apa yang engkau maksudkan ini Tuan Guru?’ Mereka menjawab, ‘Aku kata, empat ini bukanlah Al-Quran atau injil, (atau selainnya) tetapi empat itu ialah jari aku.’

Perbuatan ini disebutkan sebagai “At-Tauriah” atau helah. Mereka lakukan kerana bimbang dihukum oleh Khalifah.

Namun, Imam Ahmad ialah nama besar. Apabila orang menasihati Imam Ahmad supaya bertolak ansur. Tetapi jawab Imam Ahmad, ‘Aku boleh bertolak ansur, tetapi cuba kamu tengok di luar rumah aku.’

Apabila penasihat-penasihat itu melihat ke luar rumah Imam Ahmad, kelihatan ribuan atau ratusan sarjana bersama kertas dan pena sedang menunggu fatwa Ahmad bin Hambal dalam isu ini.

Kata Imam Ahmad, ‘Jika aku tidak tegas, manusia akan rosak. Maka aku terpaksa bercakap yang benar. Aku mesti menjelaskan pendirian Islam terhadap hal ini’

Lalu, Imam Ahmad dibawa ke penjara dengan digari. Ketika dia dibawa, ulama-ulama lain menasihatkan Imam Ahmad, ‘Wahai Ahmad! Hari ini engkau adalah kepala. Engkau jangan beralah. Jika engkau beralah, engkau berundur dari pendirian Islammu, maka nescaya orang ramai selapas ini akan keliru tentang apakah pendirian Ahli Sunnah yang sebenar.’

Imam Ahmad adalah seorang manusia. Dia bukan malaikat. Lalu dia berkata, ‘Aku ini, jika diperintahkan untuk dipancung, aku tidak bimbang sangat. Begitu juga dengan penjara. Tetapi aku bimbang kesakitan apabila disebat.’

Bila dia sampai ke tempat untuk disebat. Berkatalah orang yang sudah pernah disebat, ‘Wahai Imam, jangan takut! Sebat ini kesakitannya hanya dirasai dua kali sahaja. Kali pertama dan kedua memang sangat sakit, kemudian selepas itu sudah tidak ada rasa lagi.’

Imam Adzahabi merekdokan bahawa setelah itu Imam Ahmad berkata, ‘Jika begitu, senanglah hatiku.’

Walaupun Imam Ahmad seorang tokoh besar, dia juga seorang manusia yang juga mempunyai rasa bimbang. Namun dilaporkan bahawa Imam Ahmad tidak pernah rasa takut.

Imam Ahmad pernah berdoa, ‘Ya Allah, aku pohon padamu, aku tidak mahu lihat muka Makmun!’ Ditakdirkan Makmun meninggal dunia sebelum dia berjaya menangkap Imam Ahmad buat kali kedua.

Setelah itu, Khalifah Muktasim pula menggantikan Makmun. Pada mulanya, Muktasim tidak ambil kisah sangat hal ini. Namun, hasil hasutan Ahmad bin Abi Duat. Katanya, ‘Jika Khalifah tidak mengambil tindakan kepada Imam Ahmad, bermakna Khalifah membiarkan orang mencabar kuasa kerajaan. Jika tidak mengambil tindakan, bererti Khalifah tidak hormat kepada Makmun yang dahulunya merupakan orang disayangi rakyat. Dan Makmun tidak sukakan Imam Ahmad!’

Al-Muktasim panggil Imam Ahmad dan memintanya untuk menarik balik pendirian tersebut. Kata Imam Ahmad ‘ Aku tidak boleh.’ Orang ramai pun menasihati beliau untuk menarik kembali pendiriannya. Namun Imam Ahmad berkata, ‘ Nabi sebut orang dahulu lebih teru, sekalipun digergaji dengan gergaji besi, mereka tidak menarik pendirian mereka.’

Imam Ahmad diletak dikeldai, dibawa keliling kota Baghdad. Disebat bagai orang yang bersalah. Dia disebat ketika bulan puasa. Dia disebat dalam keadaan berpuasa. Dia ialah Imam besar, Imam Mazhab!

Ulama-ulama pengampu Khalifah yang melihat ketika Imam Ahmad disebat berkata, ‘Bunuh dia, wahai Khalifah! Dosanya kami tanggung.’

 

Imam Al-Bukhari, Imam Malik, dan Ibnu Taimiah

Dalam sejarah Imam Al-Bukhari juga demikian. Dia dibuang dari kampung halamannya kerana sikap hasad.

Imam Malik dalam fatwanya menolak pendangan Abu Jaafar Al-Mansur. Abu Jaafar tidak mahu rakyat merongkaikan janji setia, lalu dia memberi hukum kepada siapa yang merungkai janji setia, maka isterinya tertalak.

Imam Malik membangkang hal ini. Imam malik berkata, ‘Tidak ada talak kepada orang dipaksa.’

Lalu Imam Malik dibawa dan dipukul oleh pemerintah yang dihasut oleh ulama yang berhasad dengki. Dilaporkan dari anak murid Imam Malik, bahawa ‘Apabila kami pergi ke Majlis Imam Malik, bila dia bangun, dia akan ampu tangannya yang satu lagi. Sebab bahunya tercabut akibat dipukul oleh Khalifah.’

Zaman demi zaman, Allah menghantar manusia untuk membetulkan urusan agama. Mereka ini tidak menghadapi orang kafir, tetapi mereka menghadapi orang Islam. Kerana bila mahu membetulkan agama, perlu membetulkan umatnya sendiri.

Demikianlah nasib yang sama diterima oleh Ibnu Taimiah.

WallahuAlam